August 23, 2011

#21 Kekuatan Berwuduk

Kalangan ahli ibadat zaman silam sering menyemak ibadat mereka, termasuklah ketika berwuduk. Ada yang menamakannya wuduk zahir dan batin. Wuduk zahir adalah wuduk yang kita lihat dengan mata kasar, menggunakan air. Sementara wuduk batin pula adalah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu, bertaubat, menyesali dengan dosa yang telah dilakukan, tidak tergila-gilakan dunia, tidak mencari atau mengharapkan pujian orang (riak), meninggalkan sifat bangga diri, meninggalkan sifat khianat dan menipu dan meninggalkan sifat dengki.

Ketika berkumur, bisikkan dalam hati, "Ya Allah, ampunkanlah dosa mulut dan lidahku ini." Ini kerana, mulut dan lidah anggota yang paling banyak menyebabkan dosa.

Ketika membasuh muka, bisikkanlah, "Ya Allah, putihkanlah wajahku ini di akhirat kelak. Janganlah Engkau hitamkan wajahku ini." Ini kerana, wajah ahli syurga putih berseri-seri.

Ketika membasuh tangan kanan, bisikkan pula, "Ya Allah, berikanlah hisab-hisabku melalui tangan kananku." Ini kerana, hisab yang didapati melalui tangan kanan membuktikan Husnul Khatimah.

Ketika membasuh tangan kiri, merintihlah dengan bisikan, "Ya Allah, janganlah Engkau berikan hisab-hisabku melalui tangan kiriku." Ini kerana, pemberian hisab melalui tangan kiri bermaksud suul khatimah.

Ketika membasuh kepala (ubun), berbisiklah, "Ya Allah, lindungilah aku daripada terik matahari di Padang Mahsyar dengan Arasy-Mu." Ini kerana, terik matahari di Padang Mahsyar umpama ia berada hanya sejengkal di atas kepala.

Ketika membasuh telinga, berbisiklah, "Ya Allah, ampunilah dosa telingaku." Ini kerana, telinga pernah digunakan untuk mendengar fitnah, umpat dan hasutan.

Ketika membasuh kaki kanan, ucaplah, "Ya Allah, permudahkanlah aku ketika melintasi Siratul Mustaqim kelak." Ini kerana, melintasi titian itu mudah bagi ahli syurga.

Ketika membasuh kaki kiri, berdoalah, "Ya Allah, bawakanlah aku ke masjid, dan bukan ke tempat-tempat maksiat." Ini kerana, manusia sentiasa memerlukan petunjuk Ar-Rahman untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemurkaan.

Kemudian bacalah doa ini dengan rendah hati, "Aku mengaku, bahawa sesungguhnya tiada Tuahn melainkan Allah Yang Maha Esa dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya. Ya Allah, jadikanlah diriku dari kalangan orang yang bertaubat, jadikanlah diriku dari kalangan orang yang suci dan jadikanlah diriku dari kalangan hamba-Mu yang soleh."

Jelas sekali wuduk mampu mentarbiah diri kita. Maka, rebutlah peluang memperbaiki diri sendiri untuk menyukai ibadat. Ayuh mulakan awal pagi kita dengan menyiram tubuh dengan menggunakan air yang dingin, kemudian berwuduk dan bersedialah menghadap kekasih yang sejati.

:)